Sejak kecil saya telah mengenali permainan Congkak. Dulu kami menggunakan biji getah dan dimainkan dilubang-lubang yang dikorek ditanah bawah rumah. Agak bersihlah jugak tanahnya. Kini permainan congkak biasanya dimainkan menggunakan papan kayu atau plastik dan menggunakan guli sebagai buahnya.
Ada beberapa permainan lain yang hampir menyamai permainan congkak, cuma berbeza sedikit dari segi peraturannya. Contohnya permainan yang dikenali sebagai manchala yang menggunakan buah dan lubang. Tapi pengisian buah ke lubang-lubangnya bergerak melawan arah jam berbeza dengan congkak dimana pengisiannya adalah mengikut arah jam. Lubang hujung disebelah kiri adalah lubang pengumpulan milik pemain.
Saya berhasrat untuk membina permainan congkak yang boleh dimainkan menerusi komputer. Ada beberapa peraturan permainan yang perlu diberi perhatian.
- Dalam congkak asal kedua-dua pemain memulakan permainan secara serentak untuk pusingan permulaan. Giliran untuk pusingan seterusnya bergantung pada buah siapa yang lambat habis di lubang-lubang miliknya di akhir-akhir permainan.
- 'Tembak'hanya dibolehkan setelah pemain mengelilingi mengisi lubang-lubang pihak lawan. 'Tembak' ialah proses mengutip buah pihak lawan dilubang yang setentang apabila buah terakhir berakhir dilubang-lubang milik sendiri.
- Ada juga peraturan congkak, apabila salah satu lubang atau 'kampung' terbakar, maka ia akan terus terbakar untuk pusingan-pusingan seterusnya walaupun jumlah buah yang dikumpul mencukupi. Peraturan yang saya faham, 'kampung terbakar' boleh diisi semula, sekiranya buah yang dikumpul mencukupi.
Saya akan cuba masukkan kedua-dua peraturan dan pemain boleh pilih mode permainan.
Sebelum ni saya pernah buat permainan congkak untuk dimainkan dalam komputer. Tapi banyak kelemahan dalam game lama yang diberi nama Congkak Digital tu. Mungkin kiraan pun tak berapa tepat.
Kali ni saya nak buat game congkak yang lebih padu. Tapi untuk Windowslah sebab saya cuma tahu programming menggunakan Visual Basic saja. Visual Studio ada menyediakan SDK (Software Development Kit) menggunakan bahasa Visual Basic. Game congkak ni akan dibuat untuk platform UWP (Universal Windows Platform).
Selain tu game ini juga hanya boleh dimainkan secara offline. Tapi saya akan cuba juga untuk buat supaya ianya boleh dimainkan secara online. Maksudnya boleh bermain congkak dengan orang lain secara jarak jauh melalui internet.
Sekarang ni, game congkak sudah pun siap.
Anda boleh download game congkak di https://www.microsoft.com/store/apps/9MX73H9FD7DB
Saya ada iklankan game ni di facebook.
Cara Permainan Congkak.
Secara asasnya permainan congkak menggunakan board, sama ada kayu atau plastik yang mempunyai 14 lubang kecil dan 2 lubang besar di kiri kanannya. Saya guna biji-biji seperti guli menggantikan biji getah atau biji saga yang biasa digunakan dalam permainan congkak dahulu.